26. Asy-Syu’araa’
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
[1]Taa, Siin, Miim.
[2]Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata.
[3]Jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu dengan menanggung dukacita, kerana mereka tidak menjadi orang-orang yang beriman.
[4]Kalau Kami mahu, tentulah Kami akan turunkan kepada mereka satu mukjizat dari langit, yang menjadikan mereka tunduk kepadanya.
[5]Dan tidak datang kepada mereka peringatan serta pengajaran yang baharu dari (Allah) Ar-Rahman, melainkan mereka tetap berpaling mengingkarinya.
[6]Oleh kerana mereka telah mendustakan Al-Quran, maka sudah tentu akan datang kepada mereka berita-berita (azab) mengenai perkara yang mereka ejek-ejek itu.
[7]Masihkah mereka berdegil dan tidak memperhatikan bumi, berapa banyak kami tumbuhkan padanya dari berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat?
[8]Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat pengurniaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakan mereka tidak juga beriman.
[9]Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[10]Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu menyeru Nabi Musa: “Hendaklah engkau mendatangi kaum yang zalim, -
[11]“Iaitu kaum Firaun; tidakkah mereka mahu mengawal diri dari kemurkaanKu?”
[12]Nabi Musa merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku takut bahawa mereka akan mendustakan daku.
[13]“Dan akan sempit pula dadaku serta tidak lancar lidahku; oleh itu utuskanlah perintahMu kepada Harun (supaya ia membantuku).
[14]“Dan lagi mereka ada mengemukakan satu tuduhan jenayah terhadapku; oleh itu aku takut mereka akan membunuhku”.
[15]Allah berfirman: “Jangan! Jangan fikir (akan berlaku apa yang engkau bimbangkan itu)! Oleh itu pergilah kamu berdua membawa mukjizat-mukjizat Kami (yang membuktikan kebenaran kamu); sesungguhnya Kami ada bersama-sama kamu: mendengar.
[16]“Maka pergilah kamu kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam.
[17]“Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami”.
[18]Firaun menjawab: “Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau kanak-kanak yang baharu lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu?
[19]“Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (jenayah) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dari orang-orang yang tidak mengenang budi?”
[20]Nabi Musa berkata: “Aku melakukan perbuatan yang demikian sedang aku ketika itu dari orang-orang yang belum mendapat petunjuk.
[21]“Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan ugama, dan menjadikan daku seorang RasulNya.
[22]“Dan budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.
[23]Firaun berkata (dengan sombongnya): “Dan apa dia Tuhan sekalian alam itu?”
[24]Nabi Musa menjawab. “Dia lah yang memiliki dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, – kalaulah kamu mahu mendapat keyakinan dengan berdalil maka inilah jalannya”.
[25]Firaun berkata kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya: “Tidakkah kamu dengar (apa yang dikatakan olehnya)?”
[26]Nabi Musa menegaskan lagi: “Dia lah Tuhan yang memiliki dan memelihara kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu.”
[27]Firaun berkata (kepada orang-orangnya): “Sebenarnya Rasul yang diutuskan kepada kamu ini, sungguh gila?”
[28]Nabi Musa (menerangkan lagi tentang keesaan Allah dan kekuasaanNya dengan) berkata: “Dia lah yang memiliki dan menguasai timur dan barat serta segala yang ada di antara keduanya; kalau kamu orang-orang yang berakal tentulah memahamiNya!”
[29]Firaun berkata: “Demi sesungguhnya! Jika engkau menyembah Tuhan yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan menjadikan engkau dari orang-orang yang dipenjarakan”.
[30]Nabi Musa menjawab: “Adakah (engkau akan memenjarakan daku juga) walau pun aku membawa kepadamu sesuatu bukti yang jelas nyata?”
[31]Firaun berkata: “Kalau demikian, bawalah bukti itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.
[32]Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.
[33]Dan ia mengeluarkan tangannya, maka tiba-tiba tangannya menjadi putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.
[34]Firaun berkata kepada ketua-ketua kaum yang ada dikelilingnya: “Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.
[35]“Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihirnya, maka apa yang kamu syorkan?”
[36]Mereka berkata: “Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan) terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah ke bandar-bandar (negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan (ahli-ahli sihir),
[37]“Supaya mereka membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir”.
[38]Lalu dikumpulkanlah ahli-ahli sihir itu pada satu masa yang ditentukan, pada hari (perayaan) yang termaklum.
[39]Dan dikatakan kepada orang ramai: “Berkumpulah kamu semuanya;.
[40]“Semoga kita (tetap) mengikut (ugama) ahli-ahli sihir itu kiranya merekalah orang-orang yang menang”.
[41]Maka ketika ahli-ahli sihir itu datang, berkatalah mereka kepada Firaun: “Benarkah kami akan beroleh upah, kiranya kamilah orang-orang yang menang?”
[42]Firaun menjawab: “Benar, (kamu akan mendapatnya) dan sesungguhnya kamu dengan itu akan menjadi dari orang-orang yang dekat kepadaku”.
[43]Nabi Musa berkata kepada mereka: “Campakkanlah dahulu apa yang kamu hendak campakkan”.
[44]Lalu mereka mencampakkan tali-tali dan tongkat-tongkat mereka sambil berkata: “Demi kekuasaan Firaun, sesungguhnya sudah tetap kamilah orang-orang yang akan menang”.
[45]Kemudian Nabi Musa pula mencampakkan tongkatnya, tiba-tiba tongkatnya itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).
[46]Maka (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri: sujud,
[47]Sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam,
[48]“Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun”.
[49]Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya dia lah (Musa) ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya”.
[50]Mereka menjawab: “(Ugutanmu itu) tidaklah menjadi hal! Sesungguhnya kami (tidak gentar), kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami.
[51]“Sesungguhnya kami amat berharap supaya Tuhan Kami mengampunkan dosa-dosa kami, kerana kamilah orang-orang yang mula-mula beriman (dalam peristiwa ini)”.
[52](Allah berfirman): Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar pada waktu malam; sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan tenteranya)”.
[53](Setelah mengetahui keadaan itu) maka Firaun mengutus (orang-orangnya) ke bandar-bandar (negeri Mesir), untuk mengumpulkan (tenteranya),
[54](Sambil berkata kepada mereka): “Sesungguhnya orang-orang (Musa) itu adalah segolongan kecil,
[55]“Dan sesungguhnya mereka melakukan perkara yang menyebabkan kita marah;.
[56]“Dan sesungguhnya kita sekalian, sentiasa beringat dan berjaga-jaga”.
[57]Dengan sebab itu maka kami jadikan mereka (Firaun dan tenteranya) keluar meninggalkan kebun-kebun dan matair,
[58]Dan juga khazanah-khazanah kekayaan serta tempat tinggal yang mulia.
[59]Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan tenteranya milik Bani Israil sebagai pusaka.
[60]Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika matahari terbit.
[61]Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: “Sesungguhnya kita akan dapat ditawan”.
[62]Nabi Musa menjawab: “Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku”.
[63]Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Pukulah laut itu dengan tongkatmu”. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar.
[64]Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ.
[65]Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya.
[66]Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya).
[67]Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakkan mereka tidak juga mahu beriman.
[68]Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[69]Dan bacakanlah pula kepada mereka perihal Nabi Ibrahim.
[70]Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apa yang kamu sembah?”
[71]Mereka menjawab: “Kami menyembah berhala-berhala, maka (kerana memuliakannya) kami berkekalan menyembahnya”.
[72]Nabi Ibrahim bertanya: “Adakah berhala-berhala itu mendengar kamu semasa kamu menyerunya?
[73]“Atau mereka dapat memberikan sesuatu yang ada manfaatnya kepada kamu ataupun menimpakan sesuatu bahaya?”
[74]Mereka menjawab: “(Tidak satupun!) Bahkan kami dapati datuk nenek kami berbuat demikian”.
[75]Nabi Ibrahim berkata: “Sudahkah kamu berfikir sehingga nampak gunanya benda-benda yang kamu sembah itu? -
[76]“(Yang sekian lama disembah oleh) kamu dan datuk nenek kamu yang dahulu?
[77]“(Aku bertanya demikian) kerana sesungguhnya berhala-berhala itu ialah musuhKu, (aku tidak menyembah) melainkan Allah Tuhan sekalian alam;
[78]“Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku;
[79]“Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum,
[80]“Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;
[81]“Dan (Dia lah) yang mematikan daku, kemudian Ia menghidupkan daku;
[82]“Dan (Dia lah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat;
[83]“Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh;
[84]“Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian;
[85]“Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim;
[86]“Dan ampunkanlah bagi bapaku, kerana sesungguhnya ia adalah dari orang-orang yang sesat;
[87]“Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -
[88]“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,
[89]“Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);
[90]“Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa,
[91]“Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat;
[92]“Serta dikatakan kepada mereka: ` Mana dia benda-benda yang kamu sembah dahulu -
[93]` Selain dari Allah? Dapatkah mereka menolong kamu atau menolong dirinya sendiri ? ‘
[94]“Lalu mereka dihumbankan ke dalam neraka dengan tertiarap, jatuh bangun berulang-ulang, – mereka dan orang-orang yang sesat bersama,
[95]“Termasuk juga bala tentera iblis semuanya.
[96]“Mereka berkata, sambil bertengkar sesama sendiri dalam neraka:
[97]” ` Demi Allah! Sesungguhnya kami (semasa di dunia dahulu) adalah di dalam kesesatan yang jelas nyata,
[98]” ` Kerana kami menyamakan kamu dengan Tuhan sekalian alam;
[99]” ` Dan tiadalah yang menyesatkan kami melainkan golongan yang berdosa.
[100]” ` Dengan sebab itu, tiadalah kami beroleh sesiapapun yang memberi pertolongan,
[101]” ` Dan tiadalah juga sahabat karib yang bertimbang rasa.
[102]” ` Maka alangkah baiknya kalau kami dapat ke dunia sekali lagi, supaya kami menjadi dari orang-orang yang beriman. ‘ “
[103]Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membukitkan keesaan Allah dan kekuasaanNya); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[104]Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha mengasihani.
[105](Demikian juga) kaum Nabi Nuh telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka.)
[106]Ketika saudara mereka – Nabi Nuh, berkata kepada mereka: ” Hendaknya kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.
[107]“Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.
[108]” Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.
[109]“Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.
[110]“Maka dengan yang demikian, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku”.
[111]Mereka menjawab: “Patutkah kami percaya kepadamu, sedang engkau semata-mata diikut oleh orang-orang yang rendah (pangkatnya dan hina pekerjaannya)?”
[112]Nabi Nuh berkata: “Dan apalah ada kaitannya pengetahuanku dengan (pangkat dan) pekerjaan mereka?
[113]“Sebenarnya hitungan amal mereka hanya terserah kepada Tuhanku; kalaulah kamu menyedari dan memahaminya (kamu tidak berkata demikian).
[114]“Dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman (daripada bercampur-gaul denganku).
[115]“Aku ini hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata (kepada semua – tidak kira hina mulia)”.
[116]Mereka (mengugut dengan) berkata: “Jika engkau tidak mahu berhenti (daripada menyiarkan ugamamu itu) wahai Nuh, sudah tentu engkau akan menjadi dari orang-orang yang direjam!”
[117]Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku telah mendustakan daku.
[118]“Oleh itu, hukumkanlah antaraku dengan mereka, dengan hukuman tegas (yang menegakkan yang benar dan melenyapkan yang salah), serta selamatkanlah daku dan orang-orang yang beriman yang bersama-sama denganku”
[119]Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersama-sama dengannya dalam bahtera yang penuh sarat (dengan berbagai makhluk).
[120]Kemudian daripada itu, Kami tenggelamkan golongan (kafir) yang tinggal (tidak turut bersama dalam bahtera).
[121]Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[122]Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[123](Demikian juga) kaum Aad telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).
[124]Ketika saudara mereka – Nabi Hud, berkata kepada mereka: “Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
[125]“Sesungguhnya aku ini seorang Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.
[126]“Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.
[127]“Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.
[128]“Patutkah kamu mendirikan pada tiap-tiap tempat yang tinggi bangunan-bangunan yang tersergam, padahal kamu tidak membuatnya dengan sesuatu tujuan yang baik.
[129]“Dan kamu pula bersusah payah mendirikan istana-istana dan benteng-benteng yang kukuh dengan harapan hendak kekal hidup selama-lamanya?
[130]“Dan apabila kamu memukul atau menyeksa, kamu melakukan yang demikian dengan kejam bengis?
[131]“Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah dan taatlah kepadaku.
[132]“Dan berbaktilah kamu kepada Allah yang telah menolong kamu dengan pemberian nikmat-nikmatNya yang kamu sedia mengetahuinya.
[133]“Diberinya kamu binatang-binatang ternak (yang biak) serta anak-pinak (yang ramai),
[134]“Dan taman-taman (yang indah permai) serta matair-matair (yang mengalir).
[135]“Sesungguhnya aku takut, (bahawa) kamu akan ditimpa azab seksa hari yang besar (huru-haranya)”.
[136]Mereka menjawab: “Sama sahaja bagi kami, sama ada engkau beri nasihat pengajaran, atau engkau tidak menjadi dari orang-orang yang memberi nasihat pengajaran.
[137]“Segala apa (yang engkau katakan) ini, hanyalah adat kebiasaan orang-orang dahulu-kala,
[138]“Dan kami pula tidak akan diseksa”.
[139]Akhirnya mereka mendustakan Rasul itu, lalu Kami binasakan mereka. Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[140]Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[141](Demikian juga) kaum Thamud telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka),
[142]Ketika saudara mereka – Nabi Soleh, berkata kepada mereka: “Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
[143]“Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.
[144]“Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.
[145]“Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku), balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.
[146]“Adakah (kamu fikir), bahawa kamu akan dibiarkan sentiasa bersenang-senang dalam nikmat-nikmat yang ada di dunia ini? -
[147]“Di dalam taman-taman (yang indah permai), dan matair-matair (yang mengalir),
[148]“Dan kebun-kebun tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang buah mayangnya halus lembut?
[149]“Dan kamu memahat sebahagian dari gunung-ganang sebagai tempat tinggal – dengan bijak dan bersungguh-sungguh?
[150]“Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku;
[151]“Dan janganlah kamu taati perintah orang-orang yang melampaui batas, -
[152]“Iaitu orang-orang yang melakukan kerosakan di bumi dan tidak membuat kebaikan”.
[153]Mereka menjawab: “Sesungguhnya engkau ini hanyalah salah seorang dari golongan yang kena sihir!
[154]“Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; oleh itu, bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.
[155]Nabi Soleh berkata: “Ini adalah seekor unta betina, (di antara cara-cara hidupnya ialah) air kamu hendaklah menjadi bahagian minumnya sehari, dan bahagian kamu sehari, menurut giliran yang tertentu.
[156]“Dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (jika kamu menyakitinya) maka akibatnya kamu akan dibinasakan oleh azab seksa hari yang besar (huru-haranya)”.
[157]Akhirnya mereka menikam mati unta itu, kemudian mereka menyesal (setelah melihat kedatangan bala bencana).
[158]Lalu mereka ditimpa azab yang membinasakan. Sesungguhnya peristiwa yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[159]Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[160](Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).
[161]Ketika saudara mereka – Nabi Lut, berkata kepada mereka: “Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
[162]“Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.
[163]“Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.
[164]“Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.
[165]“Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia,
[166]“Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyaKan haiwan)!”
[167]Mereka menjawab: “Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar!”
[168]Nabi Lut berkata: “Sesungguhnya aku dari orang-orang yang bencikan perbuatan kamu yang keji itu”.
[169](Nabi Lut berdoa): “Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dan keluarga serta pengikut-pengikutku dari apa yang dilakukan oleh golongan (yang jahat) itu.”
[170]Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya – semuanya
[171]Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang kena azab itu.
[172]Kemudian Kami hancurkan yang lain (yang menentang Nabi Lut).
[173]Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran.
[174]Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[175]Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[176](Demikian juga) penduduk “Aikah” telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).
[177]Ketika Nabi Syuaib berkata kepada mereka: “Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
[178]“Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.
[179]“Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.
[180]“Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.
[181]“Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan cupak-gantang, dan janganlah kamu menjadi golongan yang merugikan orang lain.
[182]“Dan timbanglah dengan neraca yang betul timbangannya.
[183]“Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi.
[184]“Dan (sebaliknya) berbaktilah kepada Allah yang telah menciptakan kamu dan umat-umat yang telah lalu”.
[185]Mereka menjawab: “Sesungguhnya engkau ini (hai Syuaib) hanyalah salah seorang dari golongan yang kena sihir.
[186]“Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; dan sesungguhnya kami fikir engkau ini dari orang-orang yang dusta.
[187]Oleh itu, gugurkanlah atas kami ketul-ketul (yang membinasakan) dari langit, jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”
[188]Nabi Syuaib berkata: “Tuhanku lebih mengetahui akan apa yang kamu lakukan”.
[189]Maka mereka tetap juga mendustakannya, lalu mereka ditimpa azab seksa hari awan mendung; sesungguhnya kejadian itu adalah merupakan azab seksa hari yang amat besar – (huru-haranya).
[190]Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[191]Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[192]Dan sesungguhnya Al-Quran (yang di antara isinya kisah-kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam.
[193]Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah.
[194]Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia).
[195](Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.
[196]Dan sesungguhnya Al-Quran (tersebut juga perihalnya dan sebahagian dari pengajaran-pengajarannya) di dalam Kitab-kitab ugama orang-orang yang telah lalu.
[197](Tidakkah mereka yang musyrik sedarkan kebenaran itu) dan tidakkah menjadi satu keterangan kepada mereka bahawa pendita-pendita ugama Bani lsrail mengetahui akan kebenaran Al-Quran itu?
[198]Dan sekiranya Kami turunkan Al-Quran kepada setengah orang yang bukan Arab, yang tidak tahu membaca Arab,
[199]Kemudian ia (dikurniakan Tuhan dapat) membacakannya kepada mereka, mereka tetap juga tidak mahu percayakan bacaan itu daripada Tuhan.
[200]Demikianlah Kami masukkan perasaan (kufur ingkar) itu ke dalam hati orang-orang yang melakukan dosa – tidak percayakan Al-Quran.
[201]Mereka tidak beriman kepada Al-Quran sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya,
[202]Lalu azab itu datang menimpa mereka secara mengejut, dengan tidak mereka menyedarinya.
[203]Maka (pada saat itu) mereka akan berkata (dengan menyesal): “Dapatkah kiranya kami diberi tempoh?”
[204](Kalaulah demikian keadaan mereka) maka patutkah mereka meminta disegerakan azab Kami?
[205]Bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad)? Jika Kami berikan mereka menikmati kesenangan bertahun-tahun,
[206]Kemudian mereka didatangi azab seksa yang dijanjikan kepada mereka,
[207](Tentulah) kesenangan yang mereka nikmati bertahun-tahun itu tidak dapat memberikan mereka sebarang pertolongan.
[208]Dan tiadalah Kami membinasakan mana-mana negeri (yang telah dibinasakan itu), melainkan setelah diutus kepadanya lebih dahulu, Rasul-rasul pemberi amaran.
[209]Memperingatkan mereka; dan Kami tidak sekali-kali berlaku zalim.
[210]Dan Al-Quran itu pula tidak sekali-kali dibawa turun oleh Syaitan-syaitan.
[211]Dan tidak layak bagi Syaitan-syaitan itu berbuat demikian, dan mereka juga tidak akan dapat melakukannya.
[212]Sesungguhnya mereka dihalang sama sekali daripada mendengar wahyu yang dibawa oleh Malaikat.
[213]Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, akibatnya engkau akan menjadi dari golongan yang dikenakan azab seksa.
[214]Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.
[215]Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.
[216]Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan!”
[217]Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,
[218]Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan sembahyang),
[219]Dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang sujud.
[220]Sesungguhnya Dia lah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[221]Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun?
[222]Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa,
[223]Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.
[224]Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat – tidak berketentuan hala.
[225]Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)?
[226]Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya?
[227]Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan