109. Al-Kafirun
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
[1] Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir!
[2] “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
[3] “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
[4] “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
[5] “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
[6] “Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”.
110. An-Nasr
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
[1] Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), -
[2] Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai,
[3] Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.
111. Al-Masad
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
[1] Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!
[2] Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya.
[3] Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.
[4] Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. -
[5] Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan