82. Al-Infitar
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
[1]Apabila langit terbelah;
[2]Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan;
[3]Dan apabila lautan pecah bercampur-baur;
[4]Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan, -
[5](Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.
[6]Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu – (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? -
[7]Tuhan yang telah mencipta dan
mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan
yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh
badanmu) sama padan dengan kekuatannya;
[8]Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun kejadianmu.
[9]Sebenarnya tidak ada yang
memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! Bahkan kamu sendiri tidak
percayakan adanya hari pembalasan.
[10]Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,
[11](Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu);
[12]Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.
[13](Gunanya catitan malaikat-malaikat
itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang
bersalah) – kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat
dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat;
[14]Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang.
[15]Mereka menderita bakaran neraka itu pada hari pembalasan,
[16]Dan mereka (sentiasa berada dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya.
[17]Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?
[18]Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?
[19](Hari itu ialah) hari seseorang
tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain, dan
segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan