84. Al-Insyiqaq
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
[1]Apabila langit terbelah,
[2]Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh;
[3]Dan apabila bumi diratakan,
[4]Serta mengeluarkan apa yang di dalamnya, dan menjadi kosong,
[5]Serta mematuhi perintah Tuhannya,
dan sudah semestinya ia patuh; – (Maka pada saat itu tiap-tiap seorang
akan mengetahui apa yang telah dilakukannya).
[6]Wahai manusia! Sesungguhnya engkau
sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya
upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian
engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu
(tercatit semuanya).
[7]Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, -
[8]Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,
[9]Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.
[10]Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya,
[11]Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya,
[12]Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.
[13]Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)!
[14]Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan) !
[15](Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!
[16]Maka Aku bersumpah, demi mega;
[17]Dan malam serta segala yang dihimpunkannya;
[18]Dan bulan apabila (penuh cahayanya) menjadi purnama:
[19]Sesungguhnya kamu tetap melalui
beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu
menemui Tuhan – menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)
[20]Maka apakah alasan bagi mereka bersikap tidak mahu beriman?
[21]Dan (apakah pula alasannya) apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka tidak mahu taat dan sujud?
[22](Tidak ada satu alasan pun) bahkan orang-orang yang kafir, semata-mata mendustakannya;
[23]Sedang Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dalam hati.
[24]Maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang tidak terperi sakitnya;
[25]Tetapi orang-orang yang beriman dan beramal soleh mereka beroleh pahala balasan yang tidak putus-putus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan